Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan pelakon terkemuka India, Rajinikanth.
Menerusi perkongsian di Instagram Anwar, pertemuan dengan Rajinikanth itu berlangsung di pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Anwar berkata beliau menghargai penghormatan yang diberikan oleh Rajinikanth terhadap perjuangannya, terutama berkaitan isu kesengsaraan dan penderitaan rakyat.
“Saya hargai penghormatan yang diberikan beliau terhadap perjuangan saya khasnya terkait dengan kesengsaraan dan penderitaan rakyat.
“Antara yang dibincang secara santai pastinya berkaitan elemen kemasyarakatan yang saya perjuangkan untuk dimasukkan dalam filem-filem beliau kelak,” kata Anwar.
Anwar turut menitipkan doa buat Rajinikanth supaya terus sukses.
“Dititipkan doa agar Rajinikanth terus cemerlang dalam lapangan dan dunia perfileman,” katanya.
Rajnikanth mula menceburi bidang lakonan pada tahun 1973 dan antara filem lakonan beliau termasuklah ‘Sivaji: The Boss’. – JURNAL