Lelaki warga Rusia yang didakwa menceroboh dan memanjat puncak pencakar langit Menara Merdeka 118, Ivan Beerkus mengakui, pendakian kali ini adalah paling sukar dalam hidupnya.
Ivan menerusi perkongsian di IG Story memuat naik beberapa keping foto bagi menjawab pertanyaan netizen tentang cara-cara dia dan Angela Nikolau terlepas daripada pengawasan pihak sekuriti sebelum berjaya memanjatnya.
Dia turut memuji kawalan keselamatan yang ketat di Menara Merdeka 118 menyebabkan mereka perlukan masa lebih lama untuk sampai ke puncak.
Dedah Ivan, sebelum ini sudah ramai yang tertangkap.
“Sampai tingkat 118 rasa macam dah hilang kaki. Sebelum ini ada kes cubaan mendaki tetapi mereka tertangkap.
“Tiada siapa yang boleh pergi ke sana tanpa dikesan. Kawalan keselamatan di bangunan ini benar-benar berfungsi dengan baik. Kami memerlukan banyak masa untuk naik dan turun tanpa tertangkap. Ia adalah pendakian yang paling sukar dalam hidup saya.
“Buat masa sekarang saya tidak boleh cerita keseluruhan bagaimana saya boleh sampai ke puncak ini, tetapi masanya akan tiba nanti,” tulisnya.
Sementara itu, pasangannya Angela turut memuat naik video di Insta Story sambil menjelaskan tiada satu pun kunci keselamatan dirosakkan untuk sampai ke puncak tersebut.
Walau bagaimanapun, Angela juga sama seperti Ivan, tidak dapat memberi penjelasan penuh tentang bagaimana dia boleh sampai ke menara puncak bangunan kedua tertinggi di dunia itu, buat masa sekarang. – JURNAL