Tindakan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menggunakan kuasanya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan kes jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram adalah tidak bermoral.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam kes tersebut Ahmad Zahid telah didakwa di mahkamah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dengan mengemukakan keterangan berdokumen dan 99 orang saksi.
“Ini bermakna mahkamah telah berpuas hati bahawa terdapat bukti-bukti yang berasas tentang perlakuan jenayah tersebut oleh Zahid dan mengarahkan beliau untuk membela diri.
“Peliknya pihak pendakwaan yang telah berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan. Ini amatlah tidak munasabah.
“Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai? Atau ada arahan daripada pihak atasan bahawa kes ini mesti digugurkan walau dengan apa cara sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan Ahmad Zahid tanpa membebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
BACA: Zahid Dilepas Tanpa Bebas 47 Tuduhan Rasuah, Pecah Amanah Yayasan Akal Budi
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut mendakwa, sekiranya benar terdapat arahan menggugurkan kes tersebut, pengguguran pertuduhan ke atas Ahmad Zahid selepas diarahkan membela diri di mahkamah merupakan titik hitam dalam sistem keadilan di negara ini.
“Hal ini tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia yang merdeka sebelum ini,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, keputusan itu tersebut juga memberi kesan kepada keyakinan pelabur terhadap sistem keadilan di negara ini.
“Sudahlah seorang yang berhadapan tuduhan jenayah rasuah dilantik ke jawatan nombor dua tertinggi negara, malah pertuduhan ke atasnya juga digugurkan.
“Sudah tiba masanya rakyat menilai semula keabsahan kerajaan perpaduan ini yang sepatutnya mendukung kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. – JURNAL