KRU MasterClass menerusi program di bawah SME Corp. Malaysia kini sedang giat merealisasikan program latihan Social Commerce Micro Connector 2.0.
Program latihan ini direka khas bagi perusahaan mikro untuk mempelajari kemahiran asas penerbitan kandungan kreatif dan memperkasa penguasaan ilmu digital baharu serta menambah baik idea sedia ada berdasarkan perkembangan semasa.
Program latihan ini diadakan khusus buat 100 peserta perusahaan mikro yang berpotensi tinggi serta memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh pihak SME Corp. Malaysia.
Latihan yang dijalankan adalah gabungan secara dalam talian dan fizikal (hibrid) selama 20 hari.
Selain daripada tenaga pengajar yang berpengalaman, KRU MasterClass akan berkolaborasi dengan ikon industri untuk memastikan hasil pembelajaran relevan dengan perkembangan perniagaan semasa.
Ini sebagai salah satu inisiatif berterusan dari Kerajaan menerusi SME Corp. Malaysia bagi membantu perusahaan mikro untuk memperolehi kemahiran baharu agar terus berdaya saing dan meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan.
SME Corp. Malaysia menyediakan pembiayaan berjumlah 80% kepada perusahaan mikro menerusi mekanisma pelaksanaan Program Micro Connector 2.0 bagi tahun 2023 dengan melantik KRU MasterClass Sdn Bhd sebagai Rakan Pelaksana untuk melatih perusahaan mikro yang layak menyertai program Social Commerce Micro Connector 2.0.
KRU MasterClass akan menyediakan sesi bimbingan dan pemantauan selepas tamat latihan sebagai memenuhi syarat program.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Datuk Norman Abd Halim, berkata, inisiatif ini dengan sokongan SME Corp. Malaysia membantu perusahaan mikro dari sudut latihan serta bimbingan mendapatkan kemahiran baharu bagi penghasilan content creation dan peserta akan terus dipantau setelah enam bulan tamat program.
Pihak KRU juga turut menyediakan kempen pengiklanan bagi jenama-jenama produk perusahaan mikro yang terlibat sebagai nilai tambah bertujuan untuk membantu meningkatkan jualan mereka.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada SME Corp. Malaysia atas pembiayaan program latihan ini dan syabas KRU MasterClass sebagai Rakan Pelaksana.
“Terima kasih juga kepada rakan strategik iaitu Unit Keusahawanan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi, UDA Holdings Berhad, Perbadanan Putrajaya, TVET MARA, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan Majlis Belia Malaysia atas kerjasama dan sokongan untuk program latihan ini,” katanya.
Sedang berlangsung kini ialah latihan bagi Kumpulan 1 dan Kumpulan 2 yang merangkumi modul Pemasaran Media Sosial dan Penjenamaan.
Seterusnya peserta akan didedahkan dengan pengetahuan teknikal menerusi modul Penerbitan Siaran Langsung, Reka Bentuk Grafik dan Penyuntingan Video yang akan melengkapkan keseluruhan program.
Antara latar belakang bidang perniagaan para peserta adalah dari industri kesihatan, kecantikan, fesyen, makanan, minuman, elektrik, pelancongan dan lain-lain. – JURNAL