“Niat saya memang nak taja adik Abdul Rahman menunaikan umrah supaya dia boleh berdoa depan Kaabah, Makkah dan Raudhah di Madinah supaya adiknya yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat segera sembuh.”
Demikian kata pengasas syarikat umrah dan haji, Jay Ibrahim Travel & Tours Sdh Bhd iaitu Jay Ibrahim yang bakal menaja Abdur Rahman Amir Ruddin, 19.
Abdur Rahmah adalah anak sulung pasangan Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, yang terbunuh bersama empat lagi adiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, kelmarin.
Jay Ibrahim berkata, dia sudah berjumpa Abdur Rahman di kediaman remaja itu di Muar, Johor.
“Alhamdulillah, hasil bantuan rakan-rakan di Facebook, saya dapat berhubung dan berjumpa Abdur Rahman hari ini.
“Saya menyatakan hasrat untuk menajanya menunaikan umrah dan dia terima. Cuma, dia mahu adiknya yang kini masih di ICU dapat pergi bersama.
“Saya cakap, kalau adik dia diizinkan hidup, saya memang akan bawa juga. Tapi, saya pelawa untuk pergi awal supaya dia dapat mendoakan kesihatan adiknya di sana.
“Seperti yang kita tahu, depan Kaabah antara tempat mustajab berdoa.
“Dia beritahu tak ada passport, tapi saya cakap akan bantu uruskan semuanya. Bila-bila saja dia nak pergi pun boleh.
“Kebetulan saya memang duduk di sana. Kalau dia nak pergi minggu depan, kakitangan saya akan bantu,” katanya.
Selain menerima Pakej Umrah Premium Menara Jam Makkah, Abdul Rahman turut menerima beberapa sumbangan berupa wang tunai, kain ihram, sejadah dan sebotol air Zam Zam 5 liter.
“Insya-Allah, di sana Abdur Rahman boleh merawat jiwa di depan Kaabah. Semoga dia diberi kekuatan.
“Niat saya ini lebih pada tanggungjawab sebagi orang Islam untuk membantu mereka yang susah. Saya bersimpati atas apa yang berlaku.
“Doakan usaha kecil kami ini dipermudahkan dan dapat memberi manfaat kepada adik Abdul Rahman dan keluarga serta mendapat keberkatan Allah,” katanya.
Difahamkan adiknya, Abdullah yang masih ditempatkan di ICU dalam keadaan kritikal. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO