Selepas meneroka pelbagai cabang bermula dengan industri muzik, pengiklanan, perfileman, pendidikan dan pelancongan, KRU kini melebarkan sayap perniagaan ke dalam industri sukan.
Serentak dengan itu, KRU kini tampil memperkenalkan ‘Malaya’, jenama sukan mereka sendiri dan memilih bulan kemerdekaan untuk melancarkan produk terbaharu tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, berkata, selepas lebih 30 tahun terlibat dalam industri muzik dan hiburan serta meneroka pelbagai bidang perniagaan, sudah tiba masanya mereka terus mengembangkannya.
Menurut Norman idea untuk melibatkan diri di dalam perniagaan melibatkan sukan ini bermula sejak beberapa tahun lalu, namun disebabkan beberapa kekangan termasuk COVID-19, ia terpaksa ditangguhkan.
Bagaimanapun kata Norman, bulan kemerdekaan ini dirasakan waktu yang amat bersesuaian untuk melancarkan ‘Malaya’.
“Sebenarnya sudah lama kami rancang untuk mencuba bidang ini tetapi tetapi masa tidak mengizinkan kerana Covid-19 dan sebagainya.
“Bagaimanapun selepas melakukan perbincangan, kami memilih bulan kemerdekaan untuk memperkenalkan ‘Malaya’ kepada segenap lapisan masyarakat.
“Menariknya lagi bersempena bulan bersejarah ini kami turut menawarkan potongan harga sehingga 10 peratus kepada semua pembeli yang membuat pra-pesanan di kedai atas talian kami www.kru2u.com,” katanya.
Mengulas mengenai ‘Malaya’, Norman berkata pelancaran jenama tersebut juga berkait dengan aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan KRU kelak.
“Selepas ini ada banyak aktiviti berkonsepkan sukan, seperti marathon dan sebagainya yang bakal kami jalankan.
“Sebelum ini pun kami pernah menganjurkan pertandingan ‘celebrity cup’ melibatkan para artis bertanding dalam kejuaraan bola sepak.
“Mungkin ramai tidak tahu, asal usul KRU pun terkait rapat dengan sukan, kami pernah buat lagu untuk pasukan bola sepak sebelum dikenali sebagai artis.
“Dan selepas menjadi artis bersama EMI kami buat juga lagu tema untuk kempen sukan Komanwel pada tahun 1998. Pada tahun 2017, kita keluarkan lagu Kuasa Juara iaitu lagu tema bagi kontinjen Malaysia untuk sukan Sea di Singapura.
“Jadi selepas ini, nantikan acara-acara melibatkan kesukanan daripada kami. Kami mahu semua orang menjalani gaya hidup sihat dan selalu bersukan,” katanya teruja.
Ditanya tentang harga, Norman berkata KRU mengekalkan harga mampu milik di bawah RM80 supaya semua mampu menyarung ‘Malaya’ yang didatangkan dengan kualiti dan desain terbaik.
Di peringkat permulaan ini, Malaya juga bakal mengeluarkan desain berbeza setiap bulan.
“Untuk mereka yang suka bersukan seperti futsal, bola sepak, bola keranjang satu persatu kita akan lancarkan…Kami nak kekalkan harga di bawah RM80 bersesuaian dengan desain dan kualitinya.
“Desain berbeza akan dikeluarkan setiap bulan, tetapi ini masih di peringkat permulaan dan kami memulakan pre-order di KRU2U terlebih dahulu.
“Kebaikan pre-order ialah boleh kostum saiz, ada special request jika diorder dalam jumlah yang banyak,” katanya.
Dalam perancangan lain, ‘Malaya’ juga akan turut dibekalkan di sekolah-sekolah dengan harga yang lebih murah.
“Untuk sekolah-sekolah akan ada pakej khas yang diberikan. Apa yang penting bagi kami adalah keselesaan dan kepuasan buat semua.
“Kami berharap usaha kami ini mendapat sokongan ramai. Jika ramai yang puas hati, bagi reviu yang baik, itu petanda baik untuk jenama kami.
“Saya harap sentiasa dapat maklum balas positif daripada pengguna kerana itu adalah semangat bagi kami,” katanya. – JURNAL