Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Penguatkuasaan telah menjalankan tindakan khas terhadap premis yang tular di media sosial kerana menganjurkan tarian separa bogel.
Tindakan khas telah dijalankan pada 23 Ogos lalu mendapati premis tersebut mempunyai lesen komposit Kedai Runcit/Serbaneka/Pasar Mini (Barangan Kering Sahaja) bagi menjalankan aktiviti Pasaraya.
Walau bagaimanapun premis tersebut telah dikendalikan oleh empar orang pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.
Dua daripadanya adalah warganegara Bangladesh dan dua lagi merupakan warga negara Iran.
Oleh itu, DBKL telah mengeluarkan satu notis kompaun kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah dan satu notis kompaun kerana menjalankan aktiviti selain yang dilesenkan.
Premis tersebut juga diarahkan untuk ditutup serta merta kerana telah dikendalikan oleh bukan warganegara.
Menurut pekerja daripada premis tersebut, kejadian yang tular tentang tarian separa bogel berlaku pada 5 Julai lalu bersempena dengan sambutan ulang tahun premis tersebut. – JURNAL