Seekor kucing yang diselamatkan di lokasi nahas melibatkan sebuah pesawat Beechcraft Model 390 di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu, dilaporkan mati, semalam (Ahad).
Kematian haiwan yang diberi nama Oyen Elmina itu dimaklumkan oleh doktor veterinar yang merawatnya, Dr. Zulerwan, di Facebooknya Zul Erwan Veterinary Clinic.
“Dukacita dimaklumkan, Oyen Elmina telahpun pergi untuk selamanya hari ini.
“Oyen yang didapati positif untuk virus FIV (AIDS kucing), membuatkan sistem immune badan Oyen terganggu.
“Komplikasi luka yang berada di tulang belakang membuatkan jangkitan kuman lebih cepat merebak.
“Oyen mulai lemah dan rawatan telah diberikan sebaik mungkin tetapi Oyen tidak dapat bertahan.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan Oyen,” tulis Zul Erwan.
Terdahulu, Oyen diselamatkan pegawai Kementerian Kesihatan dan dihantar ke klinik dengan ambulans selepas ditemui di kawasan
nahas pesawat di Elmina, Shah Alam.
Oyen sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan stabil tetapi memerlukan masa untuk sembuh. – JURNAL