Bekas jurulatih bola sepak kebangsaan Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui ada bertemu bekas isteri keduanya, Fyna Jebat baru-baru ini.
Tidak menafikan foto yang tular, Zainal berkata dia bertemu bekas isterinya itu untuk menyelesaikan beberapa perkara.
“Iya, itu memang saya. Saya jumpa bekas isteri kedua. Pergi makan, berjumpa ada benda nak selesaikan beberapa masalah,” ujarnya menerusi program Nindia Bola menerusi saluran Astro Arena pada malam Isnin.
Menerusi program itu juga Zainal secara terbuka menjawab soalan pengacara, Hafizal Hamad mengenai status rumah tangganya dan Fyna.
Zainal, 62, berkata, mereka berpisah secara baik.
“Kami sudah berpisah secara damai,” jawabnya ringkas tanpa mendedahkan tarikh sebenar mereka bercerai.
Terdahulu, tular foto seorang lelaki dan wanita mirip Zainal dan Fyna sedang makan di sebuah restoran.
Mengulas mengenainya, Zainal berkata, dia menganggap perhatian orang ramai tentang kehidupan peribadinya sebagai perkara biasa memandangkan dia dan Fyna mempunyai kelompok peminat tersendiri.
“Itu biasalah,” katanya. – JURNAL