Pempengaruh TikTok yang dikenali sebagai Abang Tesla memohon maaf kepada kaum Adam yang dimarahi isteri gara-gara videonya berpoligami menjadi tular.
Abang Tesla atau nama sebenarnya Muhammad Khal Iltizam Yusry menerusi sebuah video terkini di TikTok berkata, dia menyedari ramai kaum isteri jurang selesa dengan videonya yang tular.
“Saya nak minta maaf kepada kaum lelaki, disebabkan video saya ramai kena marah dengan bini.
“Saya yang kahwin dua, kau orang yang kena marah,” katanya sambil menyertakan video ketawa.
Bagaimanapun di ruangan komen, hantaran tersebut telah dikecam warga TikTok yang menganggap ia tidak lucu.
Malah ada juga kaum hawa yang menanda nama pasangan masing-masing dan menasihati mereka supaya tidak terpengaruh dengan Abang Tesla.
“Harap jangan jadi macam ni.”
“Aku ni dah lah baran, tengok kau ni tambah baran aku bang!”
“Kau ketawa ke? Hari ini kau di atas, esok lusa kau jatuh ke bawah padan muka!”
@abg.tesla Ada yg kena bebel tak berenti ke tu?? 🤣🤣 #abgtesla ♬ original sound – ABG.TESLA
Antara reaksi warga TikTok di ruangan komen.
Abang Tesla pada Sabtu lalu telah mengejutkan warga TikTok apabila mengumumkan sudah bernikah sekali lagi.
Menerusi video yang dikongsikan, Abang Tesla berkata penikahan keduanya itu telah mendapat restu daripada isteri pertamanya, Nurmajdina Jamari.
Malah, menurut Abang Tesla isteri pertamanya reda dan hanya menjaga aibnya sebagai suami.
Tiga jam sebelum saya melangsungkan pernikahan yang kedua.
“Saya dan isteri pertama solat subuh sama-sama sambil diiringi air mata.
“Mungkin ramai yang kahwin tanpa pengetahuan isteri pertama, tapi saya tidak! Saya tidak akan membelakangi isteri saya.
“Isteri saya reda dan sangat-sangat menjaga aib dan maruah suami dia. Tipulah kalau dia tidak sedih, tapi saya ambil masa untuk pujuk hati dia tentang hasrat saya,” katanya.
Dalam hantaran sama, Abang Tesla turut memuat naik momen dia dan isteri keduanya diijabkabulkan.
Tambah Abang Tesla lagi, dia terus berjumpa dengan isteri pertamanya sebaik sahaja selesai majlis akad nikah bersama isteri kedua.
“Isteri yang baik adalah isteri yang taat pada suami dan menjaga maruah suami.
“Selesai akad nikah kedua saya terus cari isteri pertama untuk pastikan dia tidak emosi.
“Poligami adalah sesuatu yang Allah beri untuk memperbetulkan apa yang silap. Jangan disebabkan orang lain, poligami dipandang hina dimata manusia,” katanya.
Video tersebut telah menerima pelbagai reaksi positif dan negatif pelayar laman sosial.
Malah, pelakon Nabila Huda turut meninggalkan komen ‘garang’, seolah-olah tidak bersetuju dengan cara Abang Tesla memberitahu tentang pernikahannya itu. – JURNAL