Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dipercayai membuat spot check (pemeriksaan mengejut) ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), malam tadi.
Kehadiran beliau sempat dirakam orang awam di situ dan kemudiannya memuat naik fotonya di media sosial.
Melalui Twitter, pengguna akaun @ansaleya memuat naik imej Dr Zaliha yang dilihat sedang berbual dengan pengunjung di HTAR.
“Sangat pasti yang (nampak) malam tadi memang Menteri Kesihatan. Siapa sahaja yang akan perasan kalau datang mengejut, macam pesakit juga kan?
“Patutlah dia ada tanya beberapa orang di HTAR. Macam tiada sesiapa pun sedar dia tu Menteri Kesihatan,” ciapnya.
Melalui pemerhatian JURNAL, rata-rata netizen memuji tindakan Ahli Parlimen Sekijang, Johor itu kerana beliau prihatin dengan keutamaan rakyat dan sanggup turun padang untuk mendengar rintihan mereka.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan iaitu Anthony Loke juga pernah melakukan perkara sama dengan membuat lawatan mengejut di beberapa terminal pengangkutan awam sejak Ahli Parlimen Seremban, Negeri Sembilan itu mengangkat sumpah menerajui kementerian tersebut bulan lalu. – JURNAL