Majestic Johor Festival 2023 kini kembali lagi buat tahun kedua anjuran Tourism Johor terapi lebih istimewa kerana melibatkan kerjasama bersama Star Vendors Event Sdn Bhd.
Acara gilang gemilang tersebut akan berada di Puteri Harbour, Kota Iskandar, Johor, sembilan hari berturut-turut bermula 26 Ogos sehingga 3 September ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, sambutan hangat yang diterima Majestic Johor Festival tahun lalu, antara sebab acara ini diteruskan lagi pada tahun ini.
“Tahun lalu festival ini berjaya menarik 500,000 ribu pengunjung dan kita harap dengan kerjasama Starvendors, lebih ramai lagi yang akan membanjiri Puteri Habour.
“Tahun ini sasaran kami ialah seramai 650,000 pengunjung,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media acara tersebut di Hard Rock Cafe, Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor, pada petang Rabu.
Sementara itu, Pengarah Tourism Johor, Haji Suhairi Haji Hashim berkata, acara ini mengumpul usahawan-usahawan daripada pelbagai sektor seperti fesyen, kecantikan, kesihatan, kembara, makanan, minuman dan lain-lain.
Menariknya kali ini, sejarah bakal terpahat kerana kek hari kebangsaan terbesar di Malaysia, seberat 750 kilogram akan dibawa ke Majestic Johor Festival 2023 dan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.
Selain itu, penglibatan agensi-agensi kerajaan dan juga penglibatan 10 daerah Negeri Johor akan juga membawa pelbagai produk dan perkhidmatan dari daerah masing-masing.
“Objektif utama acara ini dijalankan adalah untuk menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan keluarga yang mesti di kunjungi.
“Tambahan lagi, bagi meningkatkan jalinan kerjasama dengan semua pihak yang bertanggungjawab dalam usaha untuk mempromosikan negeri Johor dan keistimewaan setiap daerah,” katanya.
Pengarah Urusan dan Pengasas Star Vendors Event Sdn Bh juga artis versatil popular, Datuk Saripah Raziah atau Ifa Raziah berkata, matlamat penganjuran ini juga adalah untuk memberi platform eksklusif kepada usahawan tempatan dan selebriti tanah air untuk berniaga.
“Kami amat bebesar hati dengan Tourism Johor yang telah member peluang kepada Star Vendors Event Sdn Bhd untuk menguruskan acara untuk tahun ini.
“Tahun ini, penampilan khas Pasukan JDT sempena ulang tahun penubuhannya ke 10. Selain itu, pengunjung akan diberi peluang untuk menyaksikan Konsert
“Road Tour Gegar Vaganza yang akan di ditayangkan di Astro.
“Antara aktiviti menarik yang akan diadakan adalah aktiviti kanak-kanak seperti mewarna, karaoke Star Voice, permainan kanak-kanak dan sebagainya.
“Acara festival ini tidak dikenakan sebarang bayaran. Masuk adalah percuma termasuk konsert percuma setiap malam,” katanya.
Aktiviti lain yang akan diadakan ialah pesta kopi dan dessert, ‘booth’ Hard Rock café dan Harley Davidson.
Antara tarikan menarik sempena bulan kemerdekaan, acara seperti perarakkan kemerdekaan dan semestinya sambutan kemerdekaan ke 66 diakhiri dengan pertunjukkan bunga api.
Turut memeriahkan minggu tersebut adalah Hot Air Balloon yang dibawakan oleh Golden Value Ventures Academy secara percuma untuk 160 pengunjung terawal dengan syarat yang ditetapkan.
Selain daripada memberi peluang kepada usahawan tempatan, Majestic Johor Festival 2023 bakal menyaksikan pembabitan 60 artis terkenal tanah air yang turut membuka ‘booth’ dan menjual rangkaian produk mereka sendiri.
Antaranya, Wak Doyok, Dato Sri Aliff Syukri, Khai Bahar, Sherry Ibrahim, Black Hanifah, Noraniza Idris, Hafiz Suip, Reen Rahim, Nadia Brian, Ramlah Ram dan ramai lagi. – JURNAL