Tidak disangkal lagi, setiap bakal pengantin pasti dibelenggu rasa gemuruh yang bukan kepalang tatkala menantikan hari bahagia mereka menjelma.
Begitulah situasi dialami seorang pemuda bernama Ayie yang sedang mengira detik bergelar suami.
Menerusi video tular dikongsi kakaknya di laman sosial sejak semalam, Ayie dilihat sedang menyiapkan dirinya untuk menghadiri upacara pernikahan.
Lengkap mengenakan sepersalinan baju Melayu rona putih bersama samping dan songkok. jejaka itu hampir melangkah keluar dari rumah sebelum menyedari dia tersalah tarikh.
Menurut kakaknya yang mahu disapa sebagai Liz, dia terkejut melihat adik bongsunya siap memakan busana tradisi baju Melayu pada Isnin lalu.
“Masakan tidak, majlis akad nikahnya dijadualkan selepas Maghrib esok, Jumaat bersamaan 30 Disember,” maklumnya.
Jelas Liz, momen melucukan itu terjadi usai mereka sekeluarga menunaikan solat Maghrib.
“Ayie yang masuk ke bilik menyalin pakaian tiba-tiba muncul memakai baju nikahnya, lantas berjalan menuju ke pintu untuk ke luar rumah.
“Sambil berjalan, dia sempat mempersoalkan kami sekeluarga yang masih belum bersiap untuk sama-sama mengiringinya ke majlis pernikahan.
“Sebaik dia bertanyakan hal itu, terus saya memaklumkanbelum tiba masanya lagi untuk bernikah,” ceritanya.
Tambahnya, disebabkan sikap Ayie yang gemar bergurau, Liz sengaja menyakat si bongsu terbabit kerana sudah beberapa kali menyedang baju nikah berkenaan. – JURNAL