Selepas tular video seorang kanak-kanak dipercayai didera di sebuah taska, muncul satu lagi video dipercayai bapa kepada kanak-kanak berkenaan yang bertindak menyerang pengasuh di taska tersebut.
Video berdurasi 29 saat itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) lanjutan daripada insiden selepas ibu bapa terbabit berang melihat anak mereka dikasari di taska tersebut.
Dalam video tersebut, memaparkan seorang lelaki bertindak mencekik dan menampar salah seorang wanita dipercayai individu yang memukul anaknya.
Rakaman video turut menunjukkan seorang wanita dipercayai isteri lelaki terbabit yang mendukung anak mereka cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
Bagaimanapun, seorang lagi pengasuh di taska itu turut menerima nasib yang sama ditumbuk oleh lelaki berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris mengesahkan terdapat dua laporan polis dibuat oleh pihak taska berkenaan.
“Suspek (pengasuh) dan pengetua ada membuat laporan polis dan bapa kanak-kanak terbabit disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan namun tiada tangkapan dibuat,” katanya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet berpuas hati dengan tindakan bapa kanak-kanak tersebut.
Pengasuh perempuan yang sepak budak kecik tu dah kena tempeleng dengan parents budak tu. Tapi kesian auntie yang leraikan gaduh tu pun kena tampar jugak. pic.twitter.com/JycrhjD1Pq
— MALAYSIA MOST VIRAL (@MALAYSIAVIRALLL) August 10, 2023
Menurut warganet, perbuatan tersebut memang salah tetapi sesiapa sahaja yang berada di tempat sang bapa, pasti akan melakukan perkara sama.
“Sorry la, tapi aku puas tengok bapak dia bantai balik perempuan tu. Kalau jadi dekat anak aku pun, aku terajang balik orang yang buat anak aku!”
“Bagus! Padan muka…siapa suruh kau buat anak orang. Memang elok bapak dia kasi kau pengajaran!”
“Memang lah salah dia pukul pengasuh tu, tapi kalau kau tengok video anak kau kena terajang, tarik rambut…Kau nak diam sambil urut dada je ke?”
“Yang aku geram, si pengasuh ni pulak pergi buat report polis! Sok suci terpaling mangsa!”
Antata komen-komen panas yang ditinggalkan netizen di media sosial.
Yang terbaharu, Pengasuh Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Luyang, Kota Kinabalu yang dipercayai mendera kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu direman selama seminggu.
Wanita berusia 27 tahun itu direman bermula hari ini hingga 17 Ogos depan selepas kebenaran reman dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi Khamis. – JURNAL