PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada esok dan lusa, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu ini.
Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz dalam kenyataan berkata, pihaknya sudahpun membuat persiapan dan persediaan merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.
Katanya, PLUS juga menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula Jumaat sehingga Ahad ini kecuali membabitkan kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang tebabit dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.
“PLUS juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di kawasan R&R serta hentian sebelah beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengunjung,” katanya.
Mohd Yusuf menyarankan orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau menuju ke lokasi mengundi masing-masing untuk membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih baik untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.
“Pengguna lebuh raya juga perlu menjangka akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa.
“Para pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi had laju, arahan lalu lintas dan berhati-hati ketika memandu,” katanya.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi PLUS untuk oleh merancang perjalanan dan
mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya. – JURNAL