Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menafikan dakwaan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy kononnya beliau tidak dimaklumkan tentang namanya digugurkan pada Pilihanraya Negeri (PRN) kali ini.
Loke menerusi sebuah kenyataan berkata, dia sendiri telah mengadakan pertemuan dengan semua penyandang yang tidak tercalon, sebelum majlis pengumuman rasmi.
BACA: P Ramasamy Umum Keluar DAP, Lepas Semua Jawatan
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy kononnya saya tidak ada ‘courtesy’ untuk memaklumkan keputusan tidak menamakan dia sebagai calon DAP pada Pilihanraya Negeri kali ini.
“Pada hari Selasa, 25 Julai 2023, saya bersama Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Saudara Nga Kor Ming telah pergi ke Pulau Pinang untuk bertemu secara bersemuka dengan setiap penyandang ADUN yang tidak dicalonkan semula dalam PRN kali ini sebelum Majlis Pengumuman Calon DAP pada petang yang sama.
“Pertemuan itu berlangsung di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang dan turut disertai oleh Pengerusi DAP Pulau Pinang Saudara Chow Kon Yeow.
“Nga, Chow dan saya menemui setiap penyandang yang tidak dicalonkan secara berasingan dan saya sendiri memaklumkan keputusan parti kepada mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk memberikan pandangan balas.
“Sesi tersebut berlangsung selama lebih satu jam dan menyebabkan saya terlewat dalam majlis pengumuman calon.
Tambah Loke, pembohongan dilakukan P.Ramasamy menghilangkan rasa hormat beliau terhadap bekas pensyarahnya itu.
“Saya berasa amat kesal dengan tindakan Dr. Ramasamy yang sanggup membohong dalam perkara ini.
“Pembohongan ini menghilangkan semua rasa hormat saya kepada beliau sebagai bekas pensyarah saya.
“Saya mengulangi bahawa sesiapa sahaja yang meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan semula dalam pilihanraya adalah orang yang tidak ikhlas dan setia kepada perjuangan parti.
“Mereka hanya menunggang parti demi kedudukan dan jawatan. Apabila tiada lagi jawatan, parti ditinggalkan,” katanya kesal.
Terdahulu, Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, P Ramasamy mengumumkan keluar parti DAP pada pagi Khamis.
Ramasamy berkata, beliau turut meletakkan semua jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa pada Khamis.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan sebagai ahli DAP dan Pengerusi DAP Cawangan Chai Leng Park telah diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada jam 8.24 pagi. – JURNAL