Anak Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Fatihah Salahuddin hadir ke Dewan Rakyat pada Selasa (semalam) untuk mencabut plat nama ayahnya.
Menerusi perkongsian di akaun Facebook miliknya, Fatihah berkata, air matanya tumpah kerana terkenangkan arwah ayahnya.
“Saya memakai baju kemeja putih ayah hari ini ke Parlimen untuk mencabut plat nama ayah di Dewan Rakyat.
“Rasa sayu dan sebak sebaik saja saya masuk ke dalam dewan, jatuh juga air mata tadi mengenangkan ayah.
“Rasanya baru seperti semalam kami bekerja keras untuk memenangkan ayah di Parlimen Pulai,” luahnya.
Anak kepada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, Parlimen umpama keluarga besar buat ayahnya.
“Parlimen telah menjadi satu keluarga besar buat ayah. Menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal (2004-2013) dan Ahli Parlimen Pulai (2018-2023).
“Secara peribadi, Parlimen adalah keluarga besar buat saya. Saya berpeluang bekerja dengan warga Parlimen sebagai Setiausaha Sulit Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof 2018-2020.
“Kemudian, berkhidmat dengan ayahanda tercinta sebagai pegawai khasnya daripada 2020 sehingga Parlimen dibubarkan pada 2022,” katanya.
Tambahnya, sepanjang tempoh tersebut, beliau diberikan kepercayaan oleh bapanya untuk menguruskan segala hal ehwal Parlimen daripada menyediakan soalan-soalan bagi pertanyaan jawab lisan sehinggalah membuat usul.
“Bagi pihak ayah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Parlimen Malaysia dan sudah dua minggu ayah tinggalkan kita semua, kerusi ini adalah milik rakyat.
“Datangnya daripada mandat rakyat, pulangnya kepada rakyat yang bakal memilih dan memberi mandat,” kata Fatihah.
Allahyarham Salahuddin meninggal dunia pada 23 Julai lalu akibat pendarahan dalam otak pada usia 61 tahun. – JURNAL