Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa, alasan ‘perangkap’ yang digunakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana tidak muncul pada ceramah mega PN di padang awam Taman Ria, Sungai Petani, Kedah semalam (Ahad) adalah untuk menutup cerita sebenar.
Rafizi berkata, sebab sebenar Sanusi tidak hadir adalah disebabkan beliau tidak boleh mengawal mulut dan menjadi beban kepada Perikatan Nasional (PN)
“Perangkap pulak dah…Pandangan saya, drama “perangkap” ni alasan kepada sebab sebenar.
“Sanusi tak boleh kawal mulut, habis kena maki dengan dia dan sekarang pimpinan PN (terutamanya Bersatu) rasa Sanusi jadi beban kempen sebab dok bagi peluru kepada lawan,” ciap Rafizi di Twitter, pada Isnin.
Terdahulu, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi mengatakan ketidakhadiran penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri untuk elak masuk ke perangkap yang dipasang musuh.
Menurut Afnab, Pengerusi PN Kedah tersebut dinasihatkan agar tidak meneruskan ceramahnya pada malam itu.
“Ini kerana ada perangkap yang dipasang oleh musuh, perangkap itu menghendaki Menteri Besar kita masuk ke dalam itu, (kemudian) dia pegang dan buat sesuatu kita tak jangka, jadi dalam waktu ini kita kena bersedia segala kemungkinan,” kata Afnan Hamimi.
Sanusi sebelum ini dilaporkan akan berdepan dengan tindakan undang-undang daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Berjaya Land Berhad.
Ia ekoran tuduhan yang dibuat Sanusi kononnya Amirudin terlibat skandal dengan Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dalam projek Gerbang Maritim Selangor. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN