Seorang pelakon lelaki yang menyebabkan kekasihnya tercampak keluar daripada kereta akibat memandu secara melulu semalam telah ditahan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) jam 5.30 petang itu mengakibatkan wanita terbabit tercedera.
“Suspek yang berusia 30 tahun memandu sebuah Perodua Myvi dirakam memandu dalam keadaan bahaya dengan menukar lorong secara zig-zag.
“Gara-gara pemanduan yang tidak berhemah itu, suspek telah hilang kawalan sehingga melanggar sisi kiri sebuah kenderaan jenis Toyota Innova,” jelasnya menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Jelasnya, kedua-dua pemandu kenderaan yang terlibat telah hadir membuat laporan pada petang tadi dan pemandu Myvi ditangkap bagi siasatan lanjut.
“Permohonan reman akan dibuat esok hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Sehubungan itu, saksi diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093. – JURNAL