Perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan kerana Timbalan Perdana Menteri itu menghadiri mesyuarat kabinet hari ini.
Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, pihaknya mengemukakan permohonan kepada hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah untuk menangguhkan perbicaraan pada pagi ini.
“Kami telah memohon penangguhan pagi ini kerana Datuk Seri (Ahmad Zahid) perlu menghadiri mesyuarat kabinet. Mahkamah membenarkan dan kes bersambung esok,” kata Hisyam.
Saksi pembelaan ketujuh iaitu bekas Setiausaha Eksekutif kepada Ahmad Zahid, Datuk Rosiah Osman sepatutnya menyambung keterangannya pada prosiding hari ini.
Ahmad Zahid, 70, diperintah membela diri terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana YAB.
Beliau selesai memberi keterangan pada 30 Ogos tahun lepas setelah 17 hari membela diri secara bersumpah dari tempat saksi dengan menafikan segala dakwaan terhadapnya.
Perbicaraan kes itu sepatutnya bersambung pada 10 April lepas hingga Julai, bagaimanapun ditangguhkan berikutan Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan 47 pertuduhan.
Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes itu pada Ogos iaitu 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24.
Semalam, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi yang dikemukakan Ahmad Zahid belum diputuskan kerana AGC masih menunggu hasil siasatan lanjut daripada Pasukan Petugas Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bukti baharu yang dikemukakan pihak pembelaan. – JURNAL
Sumber: BERNAMA