Pasukan PDRM FC hari ini mengumumkan pemain import mereka, Bruno Suzuki telah memeluk agama Islam.
Bruno yang merupakan penyerang kacukan Jepun-Brazil telah mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Pulapol Kuala Lumpur pada awal pagi tadi bersamaan 15 Muharam 1445.
“Saudara Baru Islam, Bruno Suzuki…
“Alhamdulillah dengan syukur ke hadarat Allah S.W.T ingin mengumumkan bahawa pemain PDRM FC, Bruno Suzuki telah memeluk agama Islam.
“Beliau telah mengucapkan dua kalimah syahadah bertempat di Masjid Pulapol KL pada awal pagi tadi bersamaan 15 Muharam 1445.
“Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Allahuakbar,” kata PDRM FC dalam hantaran di laman sosial Instagram.
Bruno mengucap dihadapan Ustaz Arif M.Rajoli dan disaksikan oleh Komandan Pulapol KL, SAC Noor Hisam Nordin, Timbalan Komandan (Kepolisan AM) Pulapol KL, Supt. Razali Mohamed Shahid, barisan pengurusan, jurulatih dan pemain PDRM FC.
Mengikut rekod, Bruno sebelum ini beraksi bersama kelab Liga Thailand sebelum kembali ke kancah Liga Super dengan menyarung jersi PDRM FC.
Setakat ini, Bruno antara peledak berbisa PDRM FC dengan menjaringkan empat gol sepanjang musim ini selain turut membantu jentera serangan pasukan mencipta keputusan positif. – JURNAL