Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz atau Nik Abduh mengesahkan akan ‘berpuasa’ dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh.
Perkhabaran tersebut dikongsikan oleh anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menganggap isu melibatkan Nik Abduh sebelum ini sudah selesai.
“Itu semua sudah selesai, sahabat kita semua,” kata mengenai kenyataan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz yang mahu berehat daripada politik.
Ahmad juga yang juga enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Media sebelum ini melaporkan, Nik Mohamad Abduh atau Nik Abduh mengumumkan ‘berpuasa’ dan berehat daripada politik tanah air.
Dalam hantaran sama, Nik Abduh memaklumkan perkara itu merupakan tempoh paling sukar buat diri beliau dan bondanya.
“Saya puasa dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh. Ia tempoh paling sukar untuk saya dan bonda.
“Semoga Pas bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Difahamkan, Nik Abduh mengambil keputusan itu selepas berlaku konflik namanya tidak tercalon untuk bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Bapa saudaranya, Nik Din Nik Mat mendakwa Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjadi punca anak saudaranya tidak dicalonkan di DUN Chempaka.
BACA: PRN: [V] Adik Nik Aziz Dakwa Nik Abduh Digugur Mohd Amar, Bukan Tidak Mahu Dicalonkan
Nik Din juga mendakwa, tindakan itu dibuat kerana tidak mahu ahli keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz bertapak di Pengkalan Chepa.
Bagaimanapun, Mohd Amar menafikan beliau terlibat menggugurkan nama Nik Abduh dan menyifatkan tuduhan itu satu fitnah. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN