Seorang jurugambar Perancis yang terkenal dengan aksi mencabar maut di media sosial, menemui ajal apabila terjatuh dari aras 68 sebuah bangunan pencakar langit, ketika sedang mengambil gambar.
Mangsa, Remi Lucidi, 30, atau lebih dikenali di media sosial sebagai Remi Enigma, dipercayai terperangkap di luar unit paling tinggi (penthouse) di kompleks Menara Trengunter sebelum tragedi berlaku pada jam kira-kira 7.30 petang itu.
Beliau kemudiannya panik dan bertindak mengetuk tingkap, mengejutkan seorang pembantu rumah di kediaman terbabit yang selepas itu menghubungi polis, namun mangsa tergelincir jatuh menara pencakar langit itu sebelum sempat dibantu.
Sebelum kematiannya, Lucidi sempat memuat naik foto yang berlatarkan pemandangan di Hong Kong dari atas.
Menurut laporan Daily Star, pihak berkuasa Hong Kong mendakwa seorang pengawal keselamatan di bangunan itu cuba menahan Lucidi selepas mengetahui alasan mangsa untuk masuk ke dalam bagi melawat rakannya di aras 40, adalah tidak benar.
Peminat sukan lasak itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri dengan naik ke atas bangunan itu.
“Pegawai keselamatan cuba menangkap Lucidi berdasarkan rakaman kamera keselamatan yang menunjukkan lelaki itu berada di tingkat 49 dan seterusnya menaiki tangga ke atas bangunan.
“Mereka yang mengejar jurugambar itu kemudian menemui pintu masuk menuju ke bahagian bumbung, tetapi gagal menemui mangsa,” menurut laporan itu.
Sehingga kini, punca kematian rasmi mangsa masih belum didedahkan.
Menurut sumber yang tidak mahu dikenali, kamera milik Lucidi di tempat kejadian mengandungi rakaman aksi berbahaya.
Sementara itu, pemilik hostel di mana Lucidi menginap, Gurjit Kaur, berkata mangsa kelihatan sihat dan gembira sebelum keluar.
Lucidi, yang dikenali dengan sikap peramah dan merendah diri berjaya mengumpulkan pengikutnya di Instagram melalui kandungan gambar aksi berani, diambil di atas bangunan. – JURNAL