Tindakan seorang pempengaruh TikTok mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis, tular.
Difahamkan, wanita tersebut bertindak biadab kerana tidak puas hati dirinya disaman kerana menggunakan alat telekomunikasi ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.
Menerusi rakaman tular tersebut, wanita yang memakai skirt pendek tersebut turut mempersoalkan individu yang merakam kejadian petang Isnin lalu itu.
Sementara itu, polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung kes terbabit.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian berlaku di Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.
Katanya, rakaman video kejadian yang tular di laman TikTok, dikesan semalam.
“Menerusi rakaman tersebut dapat dilihat seorang wanita warga tempatan menjerit kata-kata kesat terhadap dua anggota polis yang sedang bertugas.
“Dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, suspek tidak berpuas hati selepas disaman atas kesalahan memandu menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Jelasnya, sehingga kini video tersebut telah mendapat perhatian orang ramai dan dikhuatiri boleh menjatuhkan imej polis.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang pe kawat awam melakukan tugas, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – JURNAL