Sebahagian bendera Pas yang telah di pasang sekitar Bukit Kuang di sini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) dicabut penyokong parti itu sendiri pada kelmarin sebagai tanda protes pemilihan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Mereka tidak berpuas hati kerana Pas dikatakan akan menyerahkan kerusi DUN tersebut kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk ditandingi.
Seorang penyokong Pas tempatan yang enggan dikenali berkata, pemilihan calon Bersatu tersebut tidak mendapat restu akar umbi Pas DUN Kijal terutama dalam kalangan pengundi muda.
“Calon Bersatu yang akan diletakkan bertanding (di DUN Kijal) difahamkan bukan orang tempatan.
“Apatah lagi kita akan melawan penyandang, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi BN negeri,” dakwanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Dia berkata, kebanyakan ahli Pas setempat lebih menyukai Yang DiPertua Pas Kemaman, Hazri Jusoh yang juga penyelaras DUN Kijal.
Jelasnya, Hazri telah dikenali dan kerap turun padang membantu menyelesaikan masalah rakyat setempat sejak sekian lama.
“Begitupun isu protes itu telah diselesaikan secara baik. Bendera (Pas) yang dicabut sebelum ini telah dipasang semula malam tadi,” katanya. – JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE