Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa seorang lelaki Orang Asli yang terkena petir sejak dua hari lalu ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk mendapatkan rawatan susulan.
Pesakit, Mazlan Roslan, 18, dipercayai disambar petir ketika menggunakan ‘earphone’ sehingga menyebabkan dia kerap pengsan sejak Ahad lalu.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman, berkata pesakit bersama pengiring dibawa dari Kampung Pinchong, Pos Gob ke HGM menggunakan pesawat Agusta Westland 139 (AW139).
“Pesawat berlepas dari pangkalan udara pada 4 petang dan tiba di Kampung Pinchong 5.38 petang. Pesakit dalam keadaan sedar, namun memerlukan pengusung untuk dibawa ke helikopter kerana tidak mampu berdiri dan difahamkan selepas kejadian dua hari lalu dia kerap pengsan.
“Sejurus tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada 5.55 petang, pesakit diserahkan kepada anggota Kementerian Kesihatan (KKM) yang sudah menanti untuk dihantar ke HGM,” katanya.
Mohd Hasrizal berkata, operasi membabitkan lima anggota unit udara diketuai Juruterbang Faridullahamin Mohd Noh dan dibantu Sarifudin Ladulu.
“Alhamdulillah pesawat selamat tiba di pangkalan udara pada 7 petang.
“Keseluruhan operasi adalah tiga jam enam minit kan keadaan cuaca hujan lebat di sekitar Raub,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE