Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengisi kekosongan kerusi Parlimen Pulai dalam tempoh 60 hari selaras Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan ekoran berita penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada Ahad lalu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan pihaknya telah mengemukakan suatu pemberitahuan yang bertarikh hari ini kepada Pengerusi SPR bahawa penyandang kerusi Parlimen itu telah meninggal dunia.
“Oleh demikian, selaras Perkara 54 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kawasan P.161 Pulai, Johor dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan SPR bahawa ada kekosongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star, Kedah, Ahad lalu.
BACA: Salahuddin Ayub Meninggal Dunia
Sebelum itu, beliau disahkan mengalami pendarahan otak sebelum menjalani rawatan di hospital berkenaan.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara itu menjadi Ahli Parlimen Pulai sejak 2018 dan berjaya mempertahan kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan tiket Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 33,174 undi dalam pertembungan tiga penjuru.
Beliau memperoleh 64,900 undi manakala dua lagi calon iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional (31,726) dan wakil Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong (20,677). – JURNAL
Sumber: UTUSAN