Pada awal bulan lalu tular Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memasang sistem kamera litar tertutup dengan kecerdasan buatan (CCTV AI) di persimpangan lampu isyarat Jalan Pujut Miri, berhampiran Bintang Megamall, Miri, Sarawak.
Bukan itu sahaja, CCTV AI juga akan di pasang di persimpangan lampu isyarat di seluruh negara bagi mengesan kesalahan lalu lintas oleh pengguna jalan raya secara lebih jelas.
Difahamkan, CCTV AI itu mampu merakam kesalahan trafik dengan lebih teliti termasuk mampu merakam pergerakan had laju, nombor pendaftaran kenderaan, termasuk kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Dilaporkan juga, data itu akan diserahkan kepada polis atau JPJ untuk tindakan undang-undang sekali gus membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat kecuaian tidak mematuhi lampu isyarat.
Perkara tersebut bagaimanapun telah disahkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke berkata CCTV AI bukan perkara baharu dan pelaksanaan CCTV AI itu sudah diluluskan sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Pengangkutan lagi.
“Sistem itu diperkenal sebagai langkah ‘proof of concept‘ (bukti konsep),” katanya. – JURNAL