Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan penyanyi rap, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman sebagai calon mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di Selangor.
Pencalonan penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Malaysia itu diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang MBSA, pada malam Sabtu lalu.
Turut diumumkan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang akan mempertahankan kerusinya di Sungai Tua.
Bekas Adun Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli pula tidak akan mempertahankan kerusinya, sebaliknya akan bertanding di Hulu Kelang.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar itu dijangka akan bertanding melawan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini dilaporkan akan berpindah kerusi dan bertanding di kawasan berkenaan.
Di Negeri Sembilan, Menteri Besar Negeri Sembilan akan mempertahankan kerusinya di DUN Sikamat.
Terdahulu Anwar semasa ucapannya berkata, PH sedia mencalonkan semula Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya gandingan PH dan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu.
Beliau berkata, cadangan mencalonkan Aminuddin juga sudah dibincangkan bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Wajar kita pertahankan beliau selaku Menteri Besar. Saudara Aminuddin lebih banyak kerja dan usahanya dalam program-program rakyat.
“Tidak ada ruang untuk orang menyatakan menteri besar ini sukar ditemui atau tidak disantuni,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, PKR turut menyambut baik keputusan DAP yang memutuskan untuk mencalonkan semula Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua.
“PKR menyambut baik keputusan itu kerana prestasi beliau mengangkat dan menjamin kemajuan pertumbuhan negeri Pulau Pinang dan cara dia menyantuni rakyat semua kaum termasuk orang-orang Melayu.
“Berbeza dengan pandangan kita dengar yang cuba mencerca dan menghina DAP. Kita lihat watak dan ketokohan Chow seorang yang prihatin dan sentiasa bekerja untuk orang Cina, Melayu, India di Pulau Pinang,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN.
Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO