Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong, Serkat di Pontian, Johor, pada jam 12 tengah hari ini.
Menurut jadual perancangan dikongsikan oleh Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal, ziarah jenazah di kediaman ibu Allahyarham ditetapkan pada jam 7 pagi di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.
Ziarah jenazah di kediaman Allahyarham pula ditetapkan pada jam 10 pagi di TL7, Jalan Adil, Serkat, manakala solat jenazah dijadualkan pada jam 11 pagi di Masjid Jamek Dato’ Hj Noh Gadot, Serkat.
“Keluarga Allahyarham turut mengirimkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas doa serta ingatan terhadap Allahyarham,” katanya.
Terdahulu, jenayah Allahyarham selesai disolatkan di Masjid Al-Badar, Jalan Langgar, Alor Setar, pada jam 12.22 tengah malam.
Sebelum itu, van membawa jenazah Allahyarham dari Jabatan Forensik HSB tiba di pekarangan masjid pada jam 12.15 tengah malam.
Solat jenazah itu diimamkan oleh Imam masjid, Abu Bakar Shaikh Abdullah, dan disertai kira-kira 100 jemaah.
Selesai solat, van membawa jenazah Allahyarham ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) untuk diterbangkan ke Johor kira-kira jam 1 pagi ini.
Salahuddin, 61, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, meninggal dunia pada jam 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Beliau yang juga Timbalan Presiden AMANAH dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada jam 10.15 malam Jumaat lalu setelah mengalami mual serta muntah-muntah, sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar. – JURNAL
Sumber: BERNAMA