Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yasin bakal meneruskan tindakan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu dakwaan pelupusan hutang peneroka Felda.
Perkara tersebut disahkan beliau sendiri menerusi hantaran di laman sosial Facebook pada malam Khamis.
Dalam hantaran tersebut beliau berkata, Anwar dalam kenyataannya (pada Khamis) gagal mendedahkan dokumen dipinta berkenaan pelupusan hutang peneroka.
“Hari ini Anwar Ibrahim membuat kenyataan media berkenaan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA. Dia kemukakan dokumen untuk membuktikan dia bercakap benar.
“Tetapi dokumen yang dia kemukakan bukan berkenaan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA. Dokumen itu berkenaan Sukuk.
“Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan Sukuk bukan pelupusan hutang peneroka FELDA.
“Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar,” katanya.
Muhyiddin mendakwa, berdasarkan dokumen yang didedahkan siang tadi, Anwar juga seolah-olah tidak memahami kandungan dokumen yang ditandatangani beliau sendiri.
“Siaran Media Kementerian Kewangan pada hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA sebanyak RM8.3 bilion yang telah pun saya selesaikan pada tahun 2021.
“Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tandatangan sebagai Menteri Kewangan.
“Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.
“Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Madanon Anwar Ibrahim, lagi besar mudaratnya kepada rakyat,” ujarnya sinis.
Justeru itu, beliau akan meneruskan saman terhadap Anwar kerana gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka dalam tempoh 24 jam, sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam.
“Oleh kerana Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada saya dalam tempoh 24 jam sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam saya kepadanya, maka saya telah mengarahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atasnya,” tegas bekas Perdana Menteri kelapan itu.
Beliau membuat kenyataan itu selepas kelmarin, Muhyiddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka Felda, selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri. – JURNAL