Tiket untuk perlawanan akhir Piala FA 2023 antara JDT menentang KL City yang akan berlangsung pada 22 Julai ini sudah habis dijual.
Perkara tersebut disahkan menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Facebook Johor Southern Tigers.
Lebih 30,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan akhir pada Jumaat ini.
Jualan tiket telah dibuka sejak 12 Julai lalu menerusi laman web tickethotline.com.my dan mendapat sambutan luar biasa daripada penyokong JDT dan KL City.
Setiap penyokong boleh membeli dua tiket yang dijual pada harga RM50, RM100, RM150 (MFL Premium & FA Cup Premium) dan RM200 (Grandstand MFL) mengikut tier yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL).
Istimewa kali ini bagi penyokong yang membeli tiket MFL Grandstand RM200, akan menerima barangan eksklusif perlawanan akhir Piala FA 2023.
Namun, ada penyokong Harimau Selatan yang kecewa kerana gagal membeli tiket sekaligus terlepas peluang untuk menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari melakar sejarah menjulang Piala FA di laman sendiri.
Dalam pada itu, difahamkan baki tiket KL City yang tidak terjual akan dibuka kepada umum setelah mendapat persetujuan daripada kedua-dua pasukan. – JURNAL