Arena bola sepak negara diselubungi berita sedih apabila bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, B. Sathianathan menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi.
Berita sedih tersebut dikongsikan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj.
“Berehatlah dengan aman, Anna. Anda telah berjuang dengan baik,” tulis Chris ringkas dalam ciapannya mengenai pemergian Sathia di Twitter.
Chris ketika dihubungi mengesahkan pemergian bekas pemain bola sepak itu pada jam 1.25 petang tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Selain pernah melatih pasukan negara, mendiang juga merupakan individu disegani dalam industri bola sepak Malaysia dan pernah mengetuai beberapa pasukan tempatan seperti Kelantan, Selangor, Sarawak United dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Berdasarkan profil Sathianathan, beliau mula berjinak dalam dunia kejurulatihan pada 1992 apabila membimbing Negeri Sembilan dalam saingan Piala Emas.
Seterusnya mendiang menyertai FAM apabila menjadi penolong jurulatih skuad Olimpik negara dari 1997-1999 dan 2002-2004.
Kemuncak kariernya sudah pasti ketika dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya 2007-2009 selain sebelum itu turut melatih skuad B-23 tahun negara dengan berjaya menghadiahkan kejuaraan antarabangsa apabila menjuarai Pestabola Merdeka pada 2007.
Dalam saingan Liga M, bekas pemain negara itu turut cemerlang membawa beberapa pasukan termasuk Kelantan dengan menjuarai Piala Malaysia pada 2010, Angkatan Tentera Malaysia (juara Liga Perdana 2012), Felda United (juara Liga Perdana 2018).
Selain itu, beliau turut dinobatkan jurulatih terbaik sebanyak tiga kali (2010, 2012, 2017) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan. – JURNAL