Seorang ibu tergamak ‘membuang’ anak perempuannya yang berusia 11 tahun selepas berkahwin dengan suami baharu.m
Perkara tersebut menjadi tular selepas dikongsi Herman Sudil di Facebook.
Herman merupakan salah seorang pengurus sebuah Pertubuhan Kebajikan TBQ Amal di Johor berkata, punca ibu kanak-kanak tersebut membuang anaknya kerana suami yang baru dikahwini tidak mahu kanak-kanak tersebut selain mendakwa anak itu bermasalah.
“Budak perempuan 11 tahun emak buang tak nak jaga sebab suami baharu yang tak sampai setahun kahwin tak nak anak ini. Bapa tiri kata anak ini ‘masalah’.
“Tolonglah jadi emak jangan ‘kebulur jantan’ sampai sanggup buang anak sebab tak nak suami marah. Ada sebab mengapa anak perempuan ini tak nak duduk dengan bapa tiri dia.
“Sanggup tunggu emak balik kerja 11 malam, kelaparan dari balik sekolah tengah hari dan tunggu di luar sebab tak nak ada serumah dengan bapa tiri.
“Kalau lari rumah, tak nak balik pergi rumah cikgu sekolah wanita, bukan lepak dengan kawan,” katanya pada hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Herman menyatakan rasa hairan kerana si ibu tidak menyelidik mengapa si anak tidak mahu tinggal serumah dengan bapa tiri, lebih-lebih lagi ketika ibu tiada di rumah.
“Ini bapa tiri kedua. Sebelum ini bapa tiri yang lain okay saja, dia tak buat masalah. Tolonglah jadi orang tua pertahankan anak.
“Jangan pandai buat anak, tetapi bodoh menjaga anak. Jangan sedap nak kahwin saja, tetapi bodoh nak pertahankan anak.
“Pengurus wanita kami tengah selesaikan di balai polis untuk ambil budak ini duduk di rumah perlindungan kanak-kanak TBQ Amal. Emak dia rela hati tandatangan apa-apa dokumen untuk serahkan anak dia,” katanya kesal.
Herman berkata, beliau tidak faham dengan perangai ibu-ibu yang bertindak sedemikian.
“Minta maaf kalau ‘posting’ ini kali kasar sedikit, tetapi tak boleh ‘brain’ dengan perangai emak-emak yang bodoh.
“Saya yakin anak ini ada rezekinya yang Allah dah tetapkan dan insya-Allah tak akan miskin kita bila jaga anak ini,” katanya. – JURNAL