Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mendedahkan kebaikan seorang pelakon dan pelawak terkenal yang rajin bersedekah tetapi tidak diwar-warkan.
Pelakon dan pelawak yang berasal dari Johor dan sudah berkecimpung dalam industri seni selama 15 hingga 20 tahun itu dikatakan membiayai segala bil di masjid dan surau di kampungnya.
Menurut Ustaz Kazim, semasa menyampaikan ceramah, kebaikan pelawak ini didedahkan sendiri oleh jiran ibu dan bapa selebriti tersebut.
“Saya bersembang dengan orang Johor pagi tadi. Dia cerita jiran dia ini ada sebuah kedai makan. Anak kepada jiran dia ni pula seorang pelakon dan pelawak terkenal.
“Dia kata, ‘ustaz tahu tak pelakon dan pelawak anak mereka ini, segala bil masjid dan surau dalam kampung semua dia bayar,” katanya.
Bukan itu sahaja, selebriti tersebut turut dikatakan tidak membenarkan ibu dan bapanya terus berniaga tetapi mereka enggan kerana memikirkan periuk nasi pekerja.
“Anak mereka tak bagi mereka meniaga dah sebab anak bagi duit tiap-tiap bulan. Tapi mak dia nak meniaga juga sebab ada pekerja.
“Kalau dia tutup mereka ni susah. Jadi dia tetap buka kedai makan, bila orang datang beli tapi tak ada duit mereka bagi percuma,” ujarnya. – JURNAL