Beberapa hari lalu tular di media sosial video seorang wanita berusia 28 tahun, tetapi wajahnya kelihatan tua, seakan-akan sudah berusia.
Namun, wanita tersebut iaitu Puspa Sari sebenarnya dikatakan menghidapi sejeni penyakit yang jarang ditemui sehingga membuatkan wajahnya kelihatan lebih tua dari usianya.
Berasal dari Bogor, Indonesia, Puspa yang memiliki suara merdu mula tular selepas kerap memuat naik videonya menyanyi di TikTok.
Tinjauan mendapati, entri paling banyak ditonton pelayar TikTok merupakan video ketika dia menjawab persoalan umum bertanyakan tentang wajahnya samada hasil suntingan atau asli.
Ini kerana, video tersebut telah ditonton lebih daripada 11 juta kali dan mendapat reaksi positif warga TikTok yang rata-ratanya memuji semangat positif Puspa.
“Ini wajah sebenar saya, umur masih 28 dan penyakit ini bukan sejak lahir.
“Jangan ajar saya bagaimana untuk bersabar kerana sudah 18 tahun saya bersabar harungi penyakit ini. Pastinya ia bukan satu tempoh yang singkat,” katanya.
Menurut gadis yang dilahirkan pada 20 Julai 1994 itu, wajahnya mulai kendur dan berkedut sejak usianya 10 tahun.
“Disebabkan terlalu ramai yang bertanya, jadi saya dedahkan kisah sebenar.
“Namun menurut doktor, puncanya masih belum diketahui. Ketika kecil, masalah ini tiada, tetapi ia terjadi sewaktu berumur 10 tahun,” katanya. – JURNAL