Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, menuntut Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional, Muhammad Sanusi membuat permohonan maaf secara terbuka.
Loke berkata DAP mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab oleh Muhammad Sanusi yang mengaitkan masyarakat bukan Islam di Malaysia sebagai pemberi dan penerima rasuah yang terbanyak.
Tambah beliau lagi, Menteri Besar Kedah itu tidak sepatutnya membuat kenyataan semberono tanpa melihat pada fakta dan bukti.
“Kenyataan “sweeping statement” seperti ini bukan sahaja tidak berasas malah menimbulkan perasaan kebencian di antara kaum dalam masyarakat majmuk kita.
“Kita mencabar Sanusi untuk mengemukakan laporan mana yang membuat kesimpulan tersebut? Dimana “faktanya”? Fakta berdasarkan kajian apa?
“Kalau tidak dapat memberikan bukti, Sanusi patut memohon maaf secara terbuka,” tegas Loke.
Dalam pada itu Loke berkata, gejala rasuah perlu diperangi secara bersama dan setiap yang terlibat adalah salah, tidak kira latarbelakang kaumnya.
“Rasuah tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kaum sama sekali. Salah tetap salah tak kira siapa.
“Kenyataan berulangan seperti ini membuktikan bahawa Perikatan Nasional adalah perosak kepada keharmonian antara kaum di Malaysia dan perlu ditolak oleh masyarakat majmuk kita demi perpaduan rakyat Malaysia,” katanya. – JURNAL