Polis belum menerima sebarang laporan berkaitan dakwaan seorang murid lelaki yang didakwa digigit di mulut, telinga dan hidung oleh seorang guru lelaki di sebuah sekolah di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun, berkata pihak polis sudah melakukan semakan namun mendapati tiada laporan dibuat oleh keluarga mangsa.
Katanya, pihaknya sedia maklum berhubung kes tular berkaitan hantaran seorang wanita di laman sosial Facebook yang mendakwa anaknya digigit guru selain memaparkan video percakapan bukti kepada insiden berkenaan.
“Saya menasihatkan agar ibu bapa yang terbabit dengan kes ini tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membuat laporan memandangkan pihak kami belum menerima sebarang aduan berkaitan.
“Mungkin penyelesaian sudah dilakukan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), tetapi jika ia sudah dibawa ke peringkat mahkamah seperti yang didakwa, seharusnya laporan polis perlu dibuat.
“Kami bersedia menerima laporan dan membantu menyiasat kes sebegini terutama apabila membabitkan murid bawah umur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, pada Rabu.
Muhammad Zaki berharap keluarga mangsa tampil bagi membolehkan pihak polis membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Sebelum ini tular di media sosial seorang wanita memuat naik hantaran insiden yang menimpa anak lelakinya termasuk dua video masing-masing berdurasi satu minit 51 saat dan tiga minit 35 saat.
BACA: [V] KPM Ambil Serius Aduan ‘Cikgu Nor’ Suka Gigit Bibit Pelajar, Siasatan Sedang Dijalankan
Video pertama didakwa memaparkan kenyataan seorang murid perempuan Tahun Lima daripada sekolah yang sama, manakala yang kedua adalah video pengakuan anaknya sendiri yang dipanggil ‘abang cik’ berusia enam tahun. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO