Usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman menegaskan pihaknya sama sekali tidak akan mengangkat ‘bendera putih’ dalam usaha menjadi pemilik baharu Kelantan FC.
Jelas Hasmiza yang lebih mesra disapa Datuk Seri Vida itu, beliau akan terus bersaing dengan seorang lagi ‘pencabar’ yang juga usahawan dari Kelantan, Erfan Akif yang turut menyatakan minat menjadi pemilik baharu ‘The Red Warriors’.
“Pada saya, dia (Erfan) kena buktikan kemampuan untuk menerajui dan kelolakan kelab ini. Tetapi saya memang tidak akan berundur dan masih bersaing untuk bersama pasukan ini.
“Ini kerana kalau dibiarkan kepada mereka yang masih baru, sampai bila pasukan ini akan terumbang-ambing. Pasukan lain sudah menunjukkan perubahan tetapi Kelantan FC masih tercorot,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Vida juga menjelaskan beliau sudah bertemu dengan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman ketika aksi Liga Super berdepan Penang FC, Sabtu lalu.
Namun Vida memaklumkan isi perbincangan antara pihaknya dengan Norizam tidak dapat didedahkan buat masa ini.
“Saya sudah bertemu Zamsaham di Pulau Pinang dan mengadakan perbincangan tertutup. Namun segala maklumat lanjut mengenai perbincangan itu dirahsiakan untuk seketika ini.
“Persetujuan harga masih dalam rundingan dan (harga) terbaik untuk kita,” katanya.
Terdahulu, usahawan Kelantan, Erfan Akif atau Erfan Lee Ruslan mengesahkan sudah menandatangani perjanjian kerahsiaan (NDA) dengan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.
Pemilik Erfan Gym & Fitness itu berkata beliau mengadakan majlis tandatangan itu bersama Norizam atau Zamsaham di satu lokasi rahsia di Kota Bharu.
Bagaimanapun katanya, inti pati perjanjian, masa dan tarikh perjanjian ditandatangani tidak boleh didedahkan. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE