Lelaki yang tular kerana menunjal kepala seorang pemandu wanita berhampiran Lata Iskandar, Cameron Highlands, Jun lalu, tampil memohon maaf, semalam.
Dia yang juga seorang penyelia kilang berbuat demikian menerusi TikTok.
Menerusi perkongsian video di aplikasi itu, individu tersebut, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, turut berkongsi punca kejadian dan mengakui gagal menahan marah ekoran wanita tersebut tidak henti-henti ‘menjawab’ di atas kesilapan sendiri.
@adanjerrr #fyp #fypシ #viral #tiktokmalaysia #foryou #semboyanmalaysia ♬ bunyi asal – Shahdan
Menurutnya situasi ketika itu merisikokan dia, isteri dan anak-anak terjunam ke dalam gaung dan melihat keadaan tersebut, dia gagal menahan emosi lalu menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu terbabit sebelum turun dari kereta.
“Seorang suami tengok anak isteri dah lintang pukang kat belakang, apa perasaan? Saya pun tak boleh fikir masa tu,” katanya.
Dalam masa sama katanya, dia tidak menolak untuk membuat laporan ke atas pemandu wanita tersebut selepas ini.
“Saya nak minta maaf kepada semua rakyat Malaysia dan perempuan yang saya tunjal dan saya dah terima hukuman saya.
“Saya mungkin akan buat laporan untuk dia pula sebab untuk bahagian saya, saya dah terima hukuman kena penjara dan dapat kesedaran.
“Saya nak mohon maaf atas perbuatan saya kepada wanita tersebut saya dah terima hukuman saya,” katanya menerusi video berdurasi enam minit itu.
Mohammad Zaim Jun lalu telah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan ugutan dan mencederakan mangsa.
Dia dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sejurus kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Shah.
BACA: Lelaki Tunjal Kepala Wanita Dipenjara Tujuh Hari, Mohon Hukuman Paling Ringan
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan, 25, dengan kata ugutan ‘pecah muka kau sat lagi’. – JURNAL