Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kecewa dakwaan melulu Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu akan menggugat kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Loke berkata, dakwaan bekas Perdana Menteri, kononnya DAP yang memiliki 40 kerusi Parlimen akan mengugut Anwar untuk mengubah kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, adalah tindakan sangat tidak bertanggungjawab.
“Saya berasa amat kecewa dengan dakwaan Tun kononnya DAP akan mengugut Perdana Menteri.
“Apakah beliau sudah lupa bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, beliau didokong oleh 42 Ahli Parlimen DAP? Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya?,” kata Loke menerusi sebuah hantaran di Facebook.
Tambah Loke, sejak negara mencapai kemerdekaaan, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum yang dapat hidup bersama secara aman.
“Adakah Tun lupa berkenaan visi beliau untuk melahirkan Bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020? Mengapa hari ini beliau sanggup mengambil satu pendirian yang begitu bermusuhan dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia?
“Tun Dr. Mahathir tak perlu bimbang. Malaysia akan sentiasa kekal sebagai anggota OIC di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Kata Loke lagi DAP tidak akan bermusuhan dengan mana-mana kaum dan akan terus berkhidmat demi negara dan memainkan peranan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara.
“Saya dengan tegas mengulangi pendirian DAP bahawa semua Ahli Parlimen DAP akan mempertahankan semua perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan pada masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“DAP tidak pernah dan tidak akan mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas Loke.
Semalam, Mahathir telah mengeluarkan kenyataan mendakwa, kononnya DAP dengan kedudukan 40 kerusi Parlimen dalam kerajaan hari ini akan mengugut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi dengan tanpa agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. – JURNAL