Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan dan pemantauan ekoran tahap kesihatannya yang sedikit merosot sebelum Aidiladha.
Perkembangan itu dikongsikan anaknya, Muhammad Khalil menerusi hantaran di laman Facebooknya sebentar tadi.
“Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru (Abdul Hadi). Kesihatan Ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha dan kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” tulisnya.
Menurut Muhammad Khalil, kehadiran Ahli Parlimen Marang itu ketika pelancaran jentera pilihanraya Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu pada Selasa lalu dalam keadaan uzur.
“Kehadiran Ayahanda ke pelancaran jentera pilihan raya DPPN Terengganu tempoh hari sudah pun dalam keadaan keuzuran, namun tetap digagahkan dirinya.
“Semoga ALLAH SWT mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua,” kongsi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu.
Perkongsian Muhammad Khalil menerima pelbagai reaksi yang mendoakan kesihatan pemimpin tertinggi Pas itu.
Pada Jumaat, kuliah pagi di Masjid Rusila, Marang yang biasanya disampaikan oleh Abdul Hadi digantikan dengan Muhammad Khalil.
Sementara itu, Muhammad Khalil ketika dihubungi Sinar Harian berkata, tahap kesihatan Abdul Hadi stabil.
“Beliau ditahan wad untuk rawatan biasa dan perlukan rehat selama beberapa hari untuk pemantauan doktor,” katanya. – JURNAL