Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana mendakwa diberhentikan secara tidak sah iaitu lima bulan sebelum kontraknya tamat.
Beliau juga menuntut surat penamatan yang ditandatangani 31 Mei lalu oleh Pengerusi Finas, Datuk Kamil Ahmad Mohd Othman, tidak sah mengikut undang-undang dan terbatal.
Dalam writ dan pernyataan tuntutan difailkan peguam cara Srimurugan & Co kelmarin, plaintif menuntut kira-kira RM135,000 sebagai ganti rugi khas serta lima peratus faedah .
Beliau menamakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Finas dan pengarahnya, Mastura Ahmad Mustafa, Idwan Ariff Abdul Rahman dan Noor Azam Shairi sebagai defendan dalam saman itu.
Dr Md Nasir mendakwa, pemberhentian awal itu menyebabkan beliau menanggung malu dan mengalami tekanan mental.
Beliau yang dilantik atas kontrak dua tahun pada 1 November 2021, juga menuntut ganti rugi am dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dalam kenyataan tuntutan itu, plaintif berkata beliau dibayar gaji pokok sebanyak RM20,000 sebulan dan elaun serta imbuhan sebanyak RM6,816.67.
Menurutnya, pelantikannya dikawal oleh Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 dan menteri boleh menamatkan perkhidmatannya dengan memberinya notis 30 hari atau membayarnya sebulan gaji sebagai ganti tempoh notis itu.
Beliau bagaimanapun mendakwa, diminta keluar dari pejabatnya Jun lalu selepas dibayar gaji sebulan.
Dr Md Nasir menyifatkan penamatannya itu berniat jahat dan tanpa alasan kukuh.
Katanya, hari terakhir perkhidmatannya ialah pada 31 Mei lalu berdasarkan surat yang ditandatangani menteri pada 5 Mei lalu.
Hujahnya, Finas tidak mempunyai lembaga pengarah yang sah iaitu sekurang-kurangnya sembilan orang pada masa itu dan memandangkan hanya ada empat orang, lembaga itu tidak diberi kuasa untuk mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan.
Menurutnya, Fahmi pada 1 Jun lalu memberitahu media keputusan pemecatan itu dibuat oleh lembaga pengarah tanpa sebarang campur tangan daripadanya. – JURNAL
Sumber: BULETIN TV3