Sebanyak tujuh garis panduan baharu berkaitan perlindungan data peribadi akan dibangunkan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709), selaras keperluan era digital, inovasi dan teknologi.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, garis panduan terbabit dibangunkan dengan kerjasama Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) dan syarikat di bawah Kementerian Kewangan, Futurise Sdn Bhd (Futurise).
Ia membabitkan Garis Panduan Notifikasi Ketirisan Data Peribadi, Garis Panduan Pegawai Perlindungan Data, Garis Panduan Hak Mudah Alih Data serta Garis Panduan Mekanisme dan Pelaksanaan.
Turut termasuk Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data, Garis Panduan Mereka Bentuk Berdasarkan Privasi serta Garis Panduan Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan.
“Selaras dengan pindaan (Akta 709) yang dicadangkan, terdapat keperluan untuk memantapkan pelaksanaan pindaan akta terbabit dan untuk tujuan itu, Persuruhjaya PDP mengadakan pertemuan dengan Futurise selaku peneraju inisiatif Medan Uji Regulatori Negara.
“Susulan beberapa pertemuan dan perbincangan, Pesuruhjaya PDP dan Futurise bersetuju untuk bekerjasama bagi membangunkan beberapa garis panduan baharu serta menambah baik Standard Perlindungan Data Peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Pesuruhjaya PDP dan Futurise di sini, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya PDP merangkap Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Prof Dr Mohd Nazri Kama dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise, Rosihan Zain Baharuddin.
Gobind berkata, selain membangunkan garis panduan, Pesuruhjaya PDP dan Futurise akan mengadakan kerjasama dalam mendigitalkan proses pengurusan perlindungan data peribadi melalui Portal Perlindungan Data Peribadi.
Jelasnya, portal terbabit membolehkan semua pengguna data yang ditakrifkan di bawah Akta 709 melakukan transaksi secara dalam talian bagi proses pendaftaran baharu Pegawai Perlindungan Data.
“Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan membangunkan Program Latihan dan Persijilan Pegawai Perlindungan Data selaras dengan Pindaan Akta 709.
“Ini bertujuan untuk membangunkan rangka kerja kemahiran dan pensijilan Pegawai Perlindungan Data di peringkat kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai cadangan meminda Akta 709, beliau berkata, draf pindaan itu kini berada di Jabatan Peguam Negara untuk dimuktamadkan.
“Kita menjangkakan pindaan ini dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi kali ini, kemungkinan pada Mac ini,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO