Premis serbaneka 7-Eleven telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf susulan tindakan pekerja mencuci ketuhar gelombang mikro menggunakan mop.
Pihak 7-Eleven menerusi kenyataannya berkata, mereka telah mengambil tindakan terhadap pekerja yang melanggar protokol premis kedai serbaneka itu.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak menjelaskan lebih lanjut jenis tindakan yang diambil terhadap pekerja itu.
“Kami di 7-Eleven Malaysia dengan seikhlas hati memohon maaf atas tindakan salah seorang pekerja kami yang gagal mematuhi protokol kebersihan kami yang ketat.
Perkara tersebut dengan jelas melanggar standard yang telah ditetapkan di semua rangkaian perniagaan kami.
Kami memahami kepentingan mengekalkan persekitaran yang bersih dan selamat untuk pelanggan dan kami memberi jaminan kepada anda bahawa tindakan segera telah diambil untuk memastikan perkara ini tidak berulang.
“Kami kesal atas sebarang kesulitan atau kebimbangan yang mungkin berlaku,” menurut kenyataan tersebut.
Terdahulu kecoh di media sosial apabila seorang pekerja 7-Eleven menggunakan cara jijik untuk membersihkan peralatan memanaskan makanan di kedai serbaneka tersebut.
Beberapa foto yang dimuat naik di akaun Twitter @AshrafChak, memaparkan pekerja berkenaan bertindak memasukkan mop lantai ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk membersihkannya. – JURNAL