Malam ini dijangkakan seramai 62,000 peminat akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menonton Konsert Jelajah Dunia Born Pink, kumpulan sensasi K-Pop dari Korea Selatan, BLACKPINK.
Tinjauan Jurnal di platform laman sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook dan Twitter mendapati peminat BLACKPINK atau ‘Blinks’ sudah mula memenuhi venue konsert.
Difahamkan, ada yang sudah mula berada di venue konsert berkenaan seawal jam 10 pagi tadi.
Susulan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam kemas kini di laman Twitter menasihatikan para peminat BLACKPINK agar menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan.
“Hey Blinks, reminder to take LRT to Bukit Jalil tonight. There are 2 concerts happening simultaneously today. Blackpink in your area!,” ciap Hannah.
LRT Bukit Jalil dijangka sesak dan akan mengalami penambahan penumpang kerana selain BLACKPINK, turut berlangsung Konsert Malam Bintang di Axiata Arena.
Antara barisan artis terkemuka tanah air dan antarabangsa yang bakal membuat persembahan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Salammusik, Raihan ft Alif Satar & The Locos, Faizal Tahir, Sabyan dan Opick.
Sehubungan itu, Rapid KL mengumumkan waktu operasi bagi stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi (5 Mac). – JURNAL