Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mengumumkan inisiatif tajaan caruman penuh melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) melibatkan seramai 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, tajaan caruman tersebut akan memberi manfaat kepada 35,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara dengan anggaran peruntukan sejumlah RM1.165 juta.
Jelasnya, tajaan itu terbuka kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang mempunyai kad pemandu serta lesen PSV (perkhidmatan kenderaan awam) yang masih aktif.
“Orang yang bekerja sendiri hanya perlu mencarum baki 10 peratus untuk mendapat perlindungan selama setahun. Untuk pekerja gig dalam sektor e-hailing dan p-hailing, saya difahamkan sesetengah pengusaha membantu untuk mencarum baki 10 peratus itu.
“Namun, situasi mungkin berbeza untuk pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang bekerja sendiri dan harus bergantung kepada diri sendiri untuk membuat baki caruman.
“Oleh itu, MOT mengusahakan inisiatif bagi menaja baki 10 peratus caruman untuk mereka. Walaupun tiada peruntukan khusus, kita berjaya menjana dana melalui penjualan nombor pendaftaran istimewa ‘GOLD’ yang akan diguna pakai untuk menaja pelbagai inisiatif kebajikan termasuk baki caruman SKSPS,” katanya.
Anthony Loke berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran tajaan caruman SKSPS Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di sini hari ini. – JURNAL
Sumber: KOSMO!