Keputusan FIFA melantik bekas model pakaian dalam Victoria Secret, Adriana Lima sebagai duta pertama mereka menjelang Piala Dunia Wanita 2023 mengundang kritikan.
Rata-rata yang mengkritik merupakan bekas pentadbir bola sepak, pemain dan peminat di media sosial yang menganggap pemilihan tersebut tidak sesuai dan pelik.
Bagaimanapun Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, Adriana mampu berperanan sebagai penghubung berkesan antara badan dunia itu dengan peminat seluruh dunia.
Adriana menganggap dirinya peminat bola sepak tetapi mengundang persoalan selepas setakat ini tidak terbabit secara rasmi dengan sukan itu.
“Serius ke Fifa? Adakah duta seperti ini kami perlukan untuk Piala Dunia?” menurut bekas pemain antarabangsa Australia, Moya Dodd di Twitter yang turut menggunakan hashtag “tidak sesuai” dalam ciapannya disusuli beberapa soalan untuk model terkenal itu.
Sukan Wanita Australia (SWA) yang terbabit dengan kempen kesaksamaan antara jantina dalam sukan berkata, pelantikan Adriana sangat tidak sesuai dan FIFA sepatutnya memilih atlet yang terbabit dengan sukan itu.
“Ia sama sekali berbeza dengan bola sepak lelaki,” kata Presiden SWA, Gen Dohrmann.
“Anda boleh lihat Cristiano Ronaldo sebagai budak poster untuk Piala Dunia, jadi mengapa kami perlukan seorang model dan tidak memilih pemain seperti Meg Rapinoe, Sam Kerr atau sesiapa sahaja yang terkenal di peringkat antarabangsa?
“Itulah yang sepatutnya menjadi model untuk kempen ini,” ciap Gen Dohrmann.
Benita Mersiades, bekas ketua perhubungan korporat di Football Australia yang terbabit dengan proses bidaan Piala Dunia 2018/2022 berkata, keputusan itu memperlihatkan pendirian FIFA.
“Pelantikan Adriana sebagai duta global mereka menunjukkan betapa FIFA kurang mengambil berat hubungan dengan penyokong bola sepak dan betapa FIFA tidak berubah,” kata Benita. – JURNAL
Sumber: AGENSI