Seramai 33 individu, termasuk dua doktor dari hospital kerajaan dan seorang doktor swasta, direman bagi membantu siasatan berhubung pembabitan mereka dalam kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dianggarkan bernilai RM2.1 juta sejak 2017.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi mengeluarkan perintah reman selama dua hari terhadap ketiga-tiga doktor tersebut selepas menerima permohonan daripada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sementara itu, 29 individu lain yang terdiri daripada pekerja swasta, ejen, dan ‘runner’ direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini, manakala isteri kepada seorang ejen direman sehari.
Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai butir palsu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, semua suspek yang berusia antara 26 hingga 60 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Georgetown sekitar jam 9 pagi dalam pakaian lokap SPRM.
Sumber menyatakan bahawa doktor-doktor yang terlibat berusia antara 36 hingga 57 tahun dan bertugas di Hospital Bukit Mertajam, Hospital Seberang Jaya, serta sebuah hospital swasta di Butterworth.
Selain itu, tangkapan turut melibatkan 19 pekerja swasta yang merupakan pemohon tuntutan, lapan ejen, dan tiga ‘runner’.
Operasi penahanan ini dilancarkan antara jam 5 pagi hingga 9 malam kelmarin di sekitar negeri ini.
Siasatan awal mendapati kartel ini aktif sejak 2017, dengan kebanyakan tuntutan palsu melibatkan kecederaan Ligamen Anterior Cruciate (ACL) dan masalah tulang rawan tergelincir (slip disc).
Sumber juga mendedahkan bahawa pemohon menerima 50 peratus daripada jumlah tuntutan, manakala baki 50 peratus dibahagikan antara doktor, ejen, dan ‘runner’. – JURNAL
Sumber: Berita Harian