Susulan kebakaran besar di Los Angeles, tiga pelajar Malaysia di University of California, Los Angeles (UCLA) telah dipindahkan ke tempat selamat.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pelajar-pelajar tersebut kini ditempatkan di salah sebuah kediaman kakitangan kedutaan (HBS) bagi memastikan keselamatan mereka.
“Tiga pelajar Malaysia yang tinggal di luar kampus UCLA sudah menerima amaran pemindahan dan kini ditempatkan dengan selamat,” katanya melalui aplikasi WhatsApp.
Beliau turut menjelaskan kebakaran di Pacific Palisades dijangka merebak lebih jauh berikutan angin kencang yang diramal hingga Rabu.
Jika keadaan semakin buruk, Mohamed Nazri menjelaskan lebih ramai pelajar Malaysia mungkin akan dipindahkan.
“Misi diplomatik Malaysia sudah bersiap sedia, termasuk menyediakan beberapa lagi kediaman HBS untuk menampung pemindahan,” tambah beliau.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan 14 pelajar Malaysia di UCLA terkesan oleh insiden tersebut. Pihak KPT sudah memberi bantuan dan menyediakan pelan evakuasi jika diperlukan.
Situasi kebakaran ini akan terus dipantau dengan teliti bagi memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia yang lain. – JURNAL
Sumber: Berita Harian